Jumaat, 26 April 2013

SOALAN KEFAHAMAN UPSR




Arahan : Baca cerita di bawah, kemudian jawab soalan-soalan  yang berikutnya.
               
            Aku terjaga daripada tidur apabila mukaku  terkena tempias yang bolos melalui daun tingkap yang separuh terbuka.  Di luar hujan renik-renik dan udara kedinginan.  Keadaan ini membuatkan aku kesiangan, fikirku sambil menutup tingkap itu.
            Aku ke dapur.  Rumahku sunyi sahaja.  Entah ke mana emak dan ayahku, aku tidak pasti.
            Kubuka saji.  Semuanya sudah siap.  Nasi pulut dengan ikan sepat bakar.  Melihat sajian itu, perutku berkeroncong.  Aku makan sambil berfikir tentang perkara yang harus kubuat pada waktu hujan begini. Sebentar kemudian kudengar bunyi benda keras mengenai lantai lambur.  Kubuka pintu.  Rupa-rupanya emakku baru balik.  Dia mencampakkan sahaja golok di atas lambur itu sebelum pergi ke perigi. Aku dapat mengagak apa yang dibuat oleh emakku.  Selalunya jika tidak dapat menoreh seperti hari-hari biasa, dia akan menetak mengkuang di tepi paya.  Mengkuang itu akan dianyam menjadi tikar.
            Emak naik ke rumah.  “Lain kali bangunlah pagi-pagi,” leter emak.  “Boleh tolong emak tetak mengkuang,” tambahnya lagi. “Ayah ke mana?” tanyaku.  “Katanya, tadi dia hendak ke kebun tembakau.  Dia bimbang benar kalau-kalau air sungai naik dan memusnahkan pokok-pokok tembakaunya,” jawab emak. “Ingatkan ayah menjaring ikan,” kataku.  Pokok-pokok tembakau kepunyaan ayah hampir boleh dipungut daunnya.  Kalau semalam dua pokok tembakau itu terendam dalam air habislah,” jawab emak. Suaranya risau.
            “Tapi harap-harap hujan ini akan reda dengan cepat,” sambungnya lagi. Ayahku memang rajin.  Di sebelah pagi dia menoreh bersama emak.  Di sebelah petang pula dia menanam tembakau.  Kadang-kadang aku menolongnya di kebun tembakau itu. Aku membuat kerja-kerja yang ringan sahaja seperti membaja dan meracun.  Ulat suka benar makan daun-daun tembakau.  Habis berlubang-lubang daun tembakau itu. “Jangan termangu lagi. Pergilah baca buku,” kata ibu.  Lamunanku tergencat.

1              Mengapakah penulis kesiangan?

             A         Kerana sekarang musim hujan

             B         Kerana mukanya terkena tempias

            C         Kerana tidak dikejutkan oleh emak
            D         Kerana hari hujan dan udara dingin

2              Berikut ialah urutan  kerja yang betul dilakukan oleh penulis
A         melihat ke luar rumah, menutup tingkap, menuju ke dapur
B         membuka tudung saji, bersarapan dan mencari emaknya
C         pergi ke dapur, membuka tudung saji dan bersarapan
D         menutup tingkap, pergi ke dapur, membuka saji

3              Apakah pekerjaan sampingan emak penulis?
A         Mencari daun mengkuang
B         Menganyam tikar
C         Menangkap ikan
D         Menoreh getah

4              Berikut ialah masalah-masalah yang ditempuhi dalam kehidupan keluarga penulis KECUALI

             A         tidak dapat menoreh apabila hujan 

B         daun-daun tembakau dimakan ulat
C         tanaman tembakau yang diancam banjir
D         daun-daun tembakau akan dipungut tidak lama lagi

5              Maksud perkataan  ‘ tergencat ‘  dalam petikan ialah
A         terhenti
B         terputus
C         tergendala
D         terganggu

JAWAPAN
1.  D   Kerana hari hujan dan udara dingin
2.  C   pergi ke dapur, membuka tudung saji dan bersarapan
3.  B   Menganyam tikar
4   D   daun-daun tembakau akan dipungut tidak lama lagi
5.  A   terhenti

Tiada ulasan: